Ahmad Albab untuk mereka yang berfikir..

ahmad albab

Salam sejahtera,

Dah lama juga saya nak menulis tentang Ahmad Albab ini. Saya pasti, rata-rata kita semua yang duduk di Malaysia tau dan kenal siapa Ahmad Albab. Tapi betulkah anda benar-benar tau siapa dia Ahmad Albab sebenarnya?  Sebab setiap kali menonton filem Tan Sri P. Ramlee ini, dikepala asyik terfikirkan siapakah Ahmad Albab? Dalam banyak-banyak nama, mengapakah Ahmad Pintu (Ahmad Albab) yang dipilih untuk filem sinis penuh pengajaran ini? Akhirnya selepas sekali lagi menonton nya.. menghilangkan bosan malam tadi, pagi ini saya cuba kongsikan huraian saya tentang Ahmad Albab. (seperti juga interpretasi lain, ini adalah versi saya dan kita takkan tau maksud sebenar selagi tidak dijelaskan sendiri oleh empunya cerita.. yg sad to say dah takde..)

Secara mudah, memang benar antara maksud perkataan arab ‘Al-Bab’ adalah bermaksud “pintu itu”. Jadi disinilah dengan mudahnya empunya cerita menamakan anak yang terkena sawan tangis itu sebagai Ahmad Albab yg berhenti menangis malah tertawa bila diketuk ‘Al-Bab’.

SiapaAhmadAlbab

Namun, jika diperhalusi sebenarnya cerita Ahmad Albab ini mempunyai maksud tersirat yang sungguh mendalam. Didalam Al Quran, perkataan “Ulil Albab” atau “Ulul Albab” disebut sebanyak 16 kali dalam 12 surah. Maka bagi saya, kerana inilah empunya kisah memilih nama Ahmad Albab. ADA SESUATU yang lebih bernilai ingin disampaikan menerusi Ahmad Albab. Ulul Albab atau Ulil Albab didalam Al Quran bolehlah kita maksudkan sebagai “orang yang berakal”. Jika dilihat tafsiran lain yang lebih terperinci adalah lebih kepada “golongan manusia yang menggunakan akal dan ilmu Al Quran serta sejarah kaum sebelumnya untuk menegakkan kebenaran”.

Maka apabila berpunca dari perkataan ini, kita sudah dapat “membaca” dakwah yang ingin disampaikan oleh empunya cerita. Ahmad Albab dalam kisah ini dilahirkan dalam keadaan masyarakat yang serba serbi jahiliyah. Adakah anda rasa Tan Sri P.Ramlee tidak sengaja membuat watak Syawal sebagai seorang yang “bodoh2 alang” dan percakapan “tok tok”?. Pasti tidak. Empunya cerita mahu memperlihatkan watak manusia pada ketika itu. Kita sebagai ibubapa, adakah cukup berilmu untuk menghentikan tangisan bayi yang baru lahir, menangis akibat melihat dunia yang jahiliyah.  Jika kita lihat watak-watak lain sengaja dicerminkan dengan 3 unsur sembahan manusia yang wujud dari zaman jahiliyah dan berulang pada setiap zaman sehinggalah ke hari ini iaitu 3 TA. Ianya adalah tahTA, waniTA dan harTA. Watak Mashood Al Buaya yang gila kuasa, mahu menentukan masa depan orang lain, malah seolah minta didewa-dewakan. Watak “beras” Syawal yang berkepit wanita di kelab malam, walaupun sudah beristeri. Perniagaan dijadikan topeng untuk menipu dan merompak. Matlamat hidup adalah duit, emas dan kekayaan. Persekitaran Ahmad Albab adalah jahiliyah. Manusia yang leka dan lalai serta tidak menggunakan akal untuk memikirkan tentang Tuhan yang satu.

(Anda akan perasan akan konsep 3 TA ini berulang pada setiap zaman jika diperjelaskan lagi dengan ayat yang menyebut ulil Albab dalam surah Al Imran, ayat 190. “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal,”. Dalam ayat ini, jelas ditunjukkan bagaimana ianya akan wujud di setiap zaman. silih bergantinya siang dan malam, disinilah mereka yang berakal akan mengambil pelajaran dari jatuh bangun nya kaum terdahulu. Banyak sekali didalam Al Quran Tuhan suruh kita ambil pelajaran dari ayat Al Quran dan kaum terdahulu.

Yang dapat menyelesaikan hal jahiliyah ini adalah Ahmad Albab. Yakni mereka yang berakal. Tangisan akan berhenti, malah tertawa apabila jahiliyah boleh dihentikan. Bermakna, manusia yang benar-benar boleh memiliki kekayaan Allah, segala rahmatNya adalah mereka yang berakal. Yakni mereka yang menggunakan akal, memahami Al Quran dan Sunnah. Harta itu Ahmad Albab yang punya..!! Malah Syawal digambarkan dapat membantu orang kampung dengan “kekayaan” yang dikurnia Tuhan hasil dari harta Ahmad Albab.

Lebih menarik dan lebih dalam kefahaman nya si empunya cerita apabila menggunakan Jin sebagai perantara. Jika anda baca surah Al Jinn didalam Al Quran, maka anda akan dapat sinambungan nya bahwa golongan Jin ini adalah golongan yang bertaraf tinggi sedikit dari manusia biasa, namun mereka akan berkait rapat dengan orang yang berakal malah lebih memandang tinggi mereka yang menggunakan akal memahami ayat Tuhan sebagai ilmu. Konsep gua dimana Jin dan harta ditemui sungguh brilliant. Dimanakah anda rasa Rasul Muhammad memencil diri akibat jahiliyah dan menerima wahyu pertama? Di dalam gua..!!

Saya melihat Ahmad Albab sebagai sebuah karya ideologi yang sungguh dahsyat. Ini bukan kisah satira rakyat yang ringan sebenarnya.  Mana tidaknya, SAYA dan anda adalah Ahmad Albab. Untuk mengetahui ini pun anda perlu membuka Al Quran. Selagi anda tidak mengfungsikan akal, maka anda hanya akan kenal Ahmad Albab sebagai “Ahmad Pintu” yang di disebut oleh Mashood Al buaya. Hentikan tangisan yang lebih merunsingkan kepala si Syawal. Saya boleh pergi jauh lagi untuk huraian Ahmad Albab ini, tetapi seperti yg saya katakan di peringkat awal tadi. Ini hanyalah sekadar interpretasi saya sahaja. Cukuplah dahulu untuk anda mengenal siapa dia Ahmad Albab. Untuk kita pergi lebih jauh sebenarnya lebih kepada untuk mengenal diri anda sendiri. Jadi tugas ini saya serahkan kepada anda..

Kalau anda berjaya nanti “kanda bagi ganti ini besar punya diamond kasi…” Huhuhuhu..

Inibesarpunyadiamond

Sekian.. :p

Bagi yang nak menonton silakan..