Idea Bernas

idea

Seringkali kita dengar dan kita sebut “idea bernas”. Aku pun selalu sebut sebelum ni. Tapi dah tua-tua ni barulah nak cuba faham maksud sebenar perkataan “bernas” tersebut. Sebelum ni terlalu hanya mengikut-ngikut dan terlalu naive. Memikirkan bahawa semua orang itu baik. Hakikatnya… bila diambil inisiatif untuk menyemak semula, rupa-rupanya memang ada udang disebalik mee, ada muslihat disebalik realiti tv, silap mata itu bukan sihir dan WWE itu sekadar lakonan.

Bagus juga ada blog untuk kita sampai-sampaikan ilmu kepada para marhaen supaya tidak asyik bermimpi indah dan tak mahu bangun-bangun. Kalaulah setiap blog di Malaysia menulis tentang maksud hidup, pastilah rakyat Malaysia menjadi lebih matang, bijak dan superior dari negara lain.

Baiklah, beberapa hari lepas aku diberi pesan oleh seorang rakan untuk berfikir dengan bijak, berbicara dengan hati-hati dan memberi pendapat dengan ‘bernas’. Katanya aku ini seorang yang suka bercakap. Walaupun mata pena itu lebih tajam dari mata pedang, tetapi apa gunanya jika orang sekarang tidak suka membaca. Orang sekarang lebih suka menggunakan lidah. Suka bercakap, bernyanyi dan berkaraoke. Maka dengan itu mereka yang suka bercakap lebih mudah untuk menyampaikan. Jadi perlulah perkara yang hendak disampaikan itu bernas.! Mengapa ianya dipanggil ‘bernas’?

Baiklah, saya takkan menghurai panjang lebar mengenai maksud perkataan ‘Nas’. Ini akhirnya akan memerlukan kita menghadiri kelas bahasa Arab pula. Hehehe..  Cukuplah kita faham bahawa ‘Nas’ ini sebagai dalil, atau pembuktian, atau alasan kukuh mengikut hukum. Maka dengan ini kita boleh faham bahawa “idea yang ber-Nas” adalah idea yang mempunyai alasan kukuh mengikut hukum, idea yang mempunyai dalil-dalilnya. idea yang mempunyai pembuktian.

Maka dengan ini kita tidak akan lagi bercakap kosong. Apabila kita sudah faham maksud hebat disebalik perkataan “Bernas”. Kata-kata kita yang dipanggil bernas tidak akan lagi sekadar sebutan kosong tanpa sandaran. Jika kita mahu memberi pendapat yang bernas, mestilah ianya mempunyai pembuktian. Jika kita mahu memberi cadangan ” jom kita pergi makan”, sertakan ianya dengan Nas, “jom kita pergi makan, sebab perut dah lapar dan kita belum menjamah apa-apa makanan lagi sejak pagi” Inilah cadangan yang Ber-Nas.!

Idea yang bernas perlu ada isi, seperti juga maksud lain bagi perkataan ini yang digunakan untuk padi. Padi yang bernas adalah padi yang berisi dan subur. Peribahasa yang selalu dikaitkan dengan maksud ini adalah “Padi setangkai, bernas semuanya” yang bermaksud keluarga atau keturunan yang mewah hidupnya.  Dan mungkin yang paling diingati ramai orang kita sejak dulu adalah syarikat BERNAS yang membawa makud BERAS NASIONAL.. itu dah cerita lain.. cerita Syed Bukhary pulak.. hehehe..

Anyway.. harap-harap tulisan kali ini membawa kesan pada anda dalam membuat keputusan setiap hari. Carilah idea yang bernas. Buatlah keputusan yang bernas.. maka hidup lebih bermakna.

Anda mungkin juga suka membaca isu berkaitan = NAS dalam Islam klik disini..