Tips Memilih Dan Membeli Buah Durian

Musim durian datang lagi !!! anda suka durian? apalagi jom pergi beli durian tapi kena hati-hati juga. Memang ramai  penjual-penjual durian diluar sana, ada yang ikhlas menjual dan ada juga yang menipu.Kita pun kena la ada ilmu juga dalam memilih durian yang elok.  Disini admin kongsikan tips memilih buah durian..:)

1. Duri

Pilihlah durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana biasanya durian jenis ini memiliki isi yang bagus, kering dan manis. Selain itu, duri yang agak tumpul akan lebih mudah untuk dibuka.

2. Bentuk

Buah Durian yang memiliki bentuk unik dan tidak bulat biasanya memiliki isi yang tebal, manis, dan berbiji kurus.

3. Baunya

Durian yang matang akan mengeluarkan aroma yang kuat dan harum. Sebelum membeli durian, ambil baunya dengan cara merapatkan sedikit hidung ke kulit durian. Jika kurang berbau, ini bermakna durian tersebut tidak sempurna matangnya. Dikhuatiri buah tersebut matang secara tidak normal dan kemungkinan ia telah diperam. Buah yang diperam tidak lagi segar dan rasanya tidak berlemak seperti durian yang matang secara semulajadi.

4. Kulit

Pastikan kulit luarnya tidak cacat. Jika ada cacat pada kulitnya (misalnya busuk atau ada lubang ulat) kemungkinan isi di dalamnya busuk dan tidak dapat dimakan. Elakkan dari memilih buah yang kulitnya sudah retak atau pecah pada hujungnya. Retak atau pecah pada bahagian kulit durian akan membuat isi di dalamnya bercampur dengan udara bebas yang mengakibatkan rasa buah menjadi masam atau tawar.

5. Menggoncangkan Durian

Untuk memilih isi durian yang berkualiti dengan cara menggoncangkan buah dan rasakan getaran kecil di dalam buah. Letakkan kedua telapak tangan pada buah durian, diikuti dengan jari-jari tangan dan dipegang agak erat. Dan goncang secara perlahan-lahan. Jika  dapat merasakan getaran kecil ini bermakna isi buah kering dan matang kerana isi yang kering akan terpisah dari dinding kulit dalam manakala isi yang lembab atau terlalu lunak akan melekat di dinding kulit durian tersebut.

Dan yang terakhir sekali jangan makan sorang-sorang ..haha

MEMBELI Kereta Idaman, apa yang anda perlu tahu?

      APABILA datang keinginan untuk membeli kereta baru, apakah faktor yang menjadi pertimbangan? Apakah kereta baru idaman anda itu sesuai dengan pendapatan, memberikan keselesaan, atau anda membelinya kerana desakan-desakan bersifat material yang lain? Membeli kereta pada hari ini amat mudah. Dengan skim bayaran pendahuluan sifar RM yang ditawarkan, maka seorang graduan universiti yang baru memegang kerja untuk beberapa bulan, sudah mampu membawa pulang MyVi yang cantik berkilat ke kampungnya..!

Tetapi ingatlah, mudahnya proses membeli kereta pada hari ini membuat banyak daripada kita cuma ghairah melihat tanggungjawab untuk membayar ansuran bulanan semata-mata. Sedangkan ‘beban’ yang datang selepas memegang stereng baru itu amat besar. Ada beberapa kos terselindung yang tidak terlihat. Ini termasuklah kos petrol (bayangkan wang yang akan mengalir keluar dari poket anda dengan harga petrol yang melambung hari ini), kos penyelenggaraan (jangan ambil mudah dan culas menghantar kereta untuk selenggaraan berkala, kalau tidak, kereta baru juga boleh tersadai di tepi jalan.!), kos insurans dan memperbaharui cukai jalan (ada baiknya anda simpan duit lebih awal) dan barangkali juga kos kemalangan (yang ini jangan diminta, tetapi ada baiknya anda bersiap sedia.!). Secara asasnya, apa yang perlu anda ketahui sebelum membeli kereta idaman? Mulakan dengan kajian jenis kereta yang anda ingin beli; apakah kereta kompak, sedan atau MPV? Sudah tentu untuk seorang wanita bujang, membeli MPV adalah satu pembaziran dan percaturan kurang tepat. Tetapi tidak semestinya juga membeli kereta kompak kecil untuk wanita yang sudah berkahwin dan memiliki empat orang anak itu sesuatu yang salah, kerana ia barangkali kereta kedua dalam rumahtangganya (selepas kereta suami). Buat tempahan kereta idaman anda, fahami terma dan syarat yang terkandung dalam borang tempahan, pastikan anda menerima resit rasmi syarikat serta-merta sebagai akuan pembayaran, dan pastikan juga anda menyimpan satu salinan lengkap yang ditandatangani.

Ada beberapa faktor yang harus anda jadikan sebagai garis panduan dalam menimbang tara sebelum membeli kereta baru, iaitu:

  1. Apabila membuat keputusan untuk membeli sesebuah kereta, pastikan ia mengikut kemampuan. Kata orang tua-tua, ukurlah baju di badan sendiri. Tiada guna membeli kereta yang mahal untuk bermegah. Kelak, anda juga yang merana setiap bulan kerana terpaksa hidup mengikat perut. Baik sedikit daripada kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
  2. Ketahui kos memperbaharui cukai jalan dan insurans kereta tersebut.
  3. Dapatkan pandangan teman-teman yang beli semberono sahaja. Tanya dahulu pendapat sahabat-sahabat lelaki yang lazimnya lebih bijak dan berpengetahuan luas tentang kenderaan.
  4. Selidik dulu kos penyelenggaraan kenderaan tersebut, murah atau mahal.
  5. Pilih kereta yang jimat penggunaan petrolnya.
  6. Belilah kereta mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu atau angan-angan. Jika anda belum berkahwin misalnya, pilihan terbaik kereta sedan atau kompak. Bukannya MPV.

Seterusnya, pastikan anda melampirkan dokumen-dokumen berikut untuk memohon pinjaman bank:

  • Salinan fotokopi kad pengenalan. Sebaik-baiknya, gariskan dua palang di atas fotokopi kad pengenalan anda itu lalu tulis: ‘untuk kegunaan Bank XX’ bagi mengelakkan penyalahgunaan salinan tersebut.
  • Salinan fotokopi lesen memandu.
  • Slip gaji terbaru bagi tempoh tiga bulan.
  • Penyata akaun simpanan/semasa/tetap.
  • Borang EA.
  • Surat perlantikan tawaran kerja.
  • Borang 9, 24, 49 M & A, resolusi syarikat ( jika pembelian oleh syarikat).

Apabila memohon pinjaman bank, pastikan anda jelas dan faham mengenai jumlah pinjaman yang bakal ditanggung, tempoh pembayaran serta kadar faedah. Ada baiknya anda meminta wakil penjual kereta yang mewakili anda membuat perbandingan terdahulu akan kadar faedah terendah yang ditawarkan oleh bank-bank berlainan. Ingat! Lebih tinggi kadar faedah yang dikenakan pihak bank, bermakna lebih tinggilah bayaran bulanan anda! Jadi ya, buatlah pilihan yang tepat.

Jika semuanya berjalan dengan lancar, permohonan akan diluluskan bank, maka destinasi untuk memiliki sebuah kereta idaman semakin dekat!. Pada fasa ini, anda perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ):

  • Salinan fotokopi kad pengenalan pembeli yang disahkan.
  • Dua salinan JPJ K1 yang telah lengkap diisi dan ditandatangani pembeli.
  • Borang pelepasan tanggungan JPJ yang lengkap diisi dan ditandatangani seorang saksi.
  • Surat jualan daripada syarikat pengedar.
  • Dokumen perlindungan insurans.
  • Surat tuntutan hak milik daripada syarikat kewangan.
  • Resit tender nombor pendaftaran (jika ada).
  • Bayaran pendaftaran kereta, cukai jalan dan tuntutan hak milik termasuk dalam harga kenderaan yang diisytiharkan.
  • Bayaran tambahan dikenakan bagi kes-kes seperti: penukaran nombor pendaftaran yang melibatkan pengekalan nombor pendaftaran lama kepada kereta baru.
  • Untuk mendapatkan pendaftaran segera, pembeli perlu hadir di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Banyak orang sanggup melabur besar demi memiliki kereta idaman. Bagi orang muda, kemampuan membeli kereta Honda City atau Toyota Vios menanda aras pencapaian dalam hidup. Bagi orang berpengalaman pula, membelah jalan raya dengan Mercedes E240 atau BMW 5 Series adalah status kehebatan. Punya wang dan daya kemampuan? Silakan! Tetapi jika anda “macam mampu” dan perbelanjaan okey tetapi “hanya lepas paras hidung sahaja”, maka inilah yang akan menjadi titik mula masalah! Bayangkan anda berpendapatan RM2,700 (bersih), sudah tentu bank dengan senang hati akan meluluskan pinjaman untuk anda membeli kereta jenama X dengan ansuran bulanan sekitar RM900. Namun pernahkah anda mencerakinkan perbelanjaan bulanan anda dengan lebih telus? Selepas membayar ansuran kereta RM900 daripada gaji bersih RM2,700 tadi, ada baiknya anda kira juga perbelanjaan-perbelanjaan lain yang bakal muncul seperti: perbelanjaan makan-minum RM500, bil telefon RM150, sewa bilik rumah bujang RM400, bil utiliti RM100, kos penyelenggaraan kereta RM250 (purata), malah petrol untuk anda ke pejabat dan sebagainya RM450.

Jadi bagaimana? Mampukah anda mengatasi tekanan kewangan yang bakal dihadapi setiap bulan selepas melamar kereta idaman? Dengan kos sara hidup hari ini yang sangat tinggi, dengan sukarnya menikmati bonus malah kenaikan gaji pula amat minimum, apakah anda sudah bersedia menghadapi realiti pahit ini? Berhati-hatilah! Tarikan untuk membeli kereta idaman sememangnya amat kuat seperti besi berani. Namun jangan salah perhitungan, kerana ramai juga pemilik kenderaan akhirnya disenaraihitam kerana tidak mampu melunaskan bayaran bulanan. Lebih malang, kereta juga ditarik pihak bank!

      Natijahnya, selepas nama anda disenaraihitam dan kenderaan ditarik, anda tidak layak lagi untuk mengajukan sebarang pinjaman bank untuk membeli kereta lain pula. Jadi, tepuk dada tanyalah selera. Resolusi terbaik, kembalilah kepada tujuan utama anda membeli kereta idaman. Dengan itu, barulah anda menjauhi pembaziran, dan tidak hidup dalam dunia di luar sempadan kemampuan..

TAHUKAH ANDA?

Berikut merupakan 10 jenis kereta dengan kos penyelenggaraan murah, senang dan popular yang menjadi pilihan rakyat Malaysia. Kereta-kereta tersebut adalah:

  • Perodua Viva (kereta kompak)
  • Perodua MyVi (kereta kompak)
  • Proton Saga baru (sedan kompak)
  • Proton Pesona (sedan)
  • Proton Exora (MPV)
  • Perodua Alza (MPV kompak)
  • Honda City (sedan kompak)
  • Toyota Vios (sedan kompak)
  • Nissan Sentra (sedan)
  • Nissan Grand Livina (MPV kompak)

credit to In Trend November 2012

1 2 3